fbpx

Dakwaan maklumat kes Zayn Rayyan bocor boleh cetus sentimen, persepsi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin pada sidang akhbar Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pulapol, hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Dakwaan kebocoran maklumat dikatakan berkait pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, boleh mewujudkan sentimen, persepsi atau tanggapan daripada orang awam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehubungan itu semua pihak diminta untuk memberi ruang kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan secara profesional terhadap kes tersebut.

“Apa pun yang jadi, panduan kita mestilah daripada sumber ‘authoritative’ (berwibawa). Apa jaminan diberikan oleh polis berulang kali dalam kes Zayn Rayyan ini. Peristiwa sudah berlalu beberapa bulan.

“Tentulah proses ini apa sahaja penemuan seperti bukti, motif, senjata digunakan dan sebagainya tengok kepada bukti fizikal. Dalam perkara ini, beri ruang kepada pasukan polis.

“Kalau nanti dikatakan ada kebocoran maklumat sebagainya, ia mengubah atau mencipta sentimen atau tanggapan sendiri daripada orang awam. Ini mengganggu siasatan pasukan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous serta Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Menteri Dalam Negeri Bersama PDRM di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini hari ini.

Saifuddin berkata, pada masa ini pasukan PDRM terus fokus menjalankan siasatan secara profesional terhadap kes tersebut.

“Di satu sisi masyarakat terbanyak mahu polis segerakan keadilan. Ada media memetik kebocoran di sana sini yang dikatakan sekali gus mendedahkan kepada komen (orang ramai).

“Polis tidak boleh berada dalam suasana seperti itu. Buat masa sekarang mereka terus fokus menjalankan siasatan dengan profesional,” ujarnya.

Ditanya sama ada rombakan akan dibuat terhadap pasukan siasatan kes Zayn Rayyan, beliau menegaskan, PDRM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri.

Terdahulu, PDRM dilaporkan akan menjalankan siasatan susulan penyebaran maklumat didakwa fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan yang tular di media sosial sejak semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dipetik berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi menyekat penyebaran maklumat terbabit termasuk menurunkan kandungan dikesan dimuat naik di Telegram. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI