SHAH ALAM – Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr. Muhammad Hazwan Khair menegaskan pasukan tidak meletakkan sebarang tempoh masa untuk Faisal Halim kembali aktif kerana mahu tumpuan diberikan sepenuhnya kepada proses pemulihan.
Kata Dr. Muhammad Hazwan, buat masa ini pihak kelab telah merangka rawatan komprehensif buat pemain yang mesra dengan panggilan Mickey itu termasuk bantuan fisioterapi, psikologi dan psikiatri.
“Kami mengikut keselesaan Faisal dalam proses (pemulihan) ini kerana kami tahu dia mahu segera kembali ke lapangan, jadi kami hanya membantu mempercepatkan proses tersebut.
“Orang ramai bertanya bila dia boleh kembali bermain bola sepak. Namun, kami tidak menetapkan sebarang jangka masa untuk Mickey kembali kerana ia bukan sahaja melibatkan keadaan fizikal tetapi juga emosi dan psikologi.
“Justeru, kita telah merancang beberapa langkah termasuk rangsangan otak (brain stimulation), tumpuan pada perlawanan, mengawal tekanan (stress management), dan lain-lain lagi
“Daripada segi sains perubatan, kami turut mengadakan perbincangan dengan pakar psikologi dan pakar psikiatri untuk penilaian berkala,” katanya ketika ditemui.
Sebagai rekod, kehidupan Faisal seperti berubah 180 darjah apabila menjadi mangsa simbahan asid daripada individu tidak dikenali pada 5 Mei lepas.
Pemain kelahiran Mengkuang Titi itu pada awalnya dilihat agak kritikal selepas disahkan melecur tahap empat tetapi semakin stabil selepas menjalani empat pembedahan.
Selepas dibenarkan ‘discaj’ daripada hospital swasta pada 25 Mei lepas, Faisal mengambil keputusan untuk membuat kemunculan umum buat kali pertama semalam bagi berkongsi perkembangan karier dan tahap kesihatannya. – KOSMO! ONLINE