ALOR GAJAH – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan memasyhurkan Masjid Nur Jannatul Bahri di Kampung Ayer Hitam Pantai, Tanjung Bidara di sini kepada Masjid Sultan Ibrahim sempena nama Seri Paduka.
Ketibaan Seri Paduka disambut Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka sekitar pukul 1.03 tengah hari.
Seri Paduka juga berkenan menandatangani plak perasmian pemasyhuran Masjid Sultan Ibrahim di pekarangan masjid tersebut dan mengurniakan cek bakul makanan sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor kepada Ab. Rauf dan menerima mengadap Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Sultan Ibrahim kemudian menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah dan diimamkan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil. – KOSMO! ONLINE