PETALING JAYA – Glomac Berhad (Glomac) melaporkan hasil berjumlah RM266.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024 (TK2024), berbanding RM341 juta yang direkodkan tahun sebelumnya.
Menurutnya dalam satu kenyataan, hasil lebih rendah adalah disebabkan penyiapan beberapa projek pembangunan pada TK2023, termasuk pelbagai fasa kediaman di Saujana Perdana serta Plaza@Kelana Jaya, yang merupakan pembangunan kediaman bersepadu Kumpulan di daerah Petaling Jaya – Damansara bernilai RM348 juta.
Jelasnya, projek-projek yang baharu dilancarkan ini, meskipun menikmati jualan yang baik, masih dalam peringkat awal pembangunan dan belum menyumbang dengan ketara kepada hasil Kumpulan.
“Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula adalah berjumlah RM32.9 juta, berbanding RM50.5 juta pada TK2023.
“Ia terutamanya disebabkan oleh kos pembinaan lebih tinggi dan perbelanjaan faedah yang meningkat,” katanya.
Pada masa sama, Glomac berharap dapat mengekalkan momentum jualan tahun ini menerusi pelancaran kukuh projek-projek baharu.
“Antaranya ialah fasa baharu rumah teres dua tingkat di perbandaran Saujana KLIA, Saujana Utama dan Saujana Jaya di Kulai, dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM174 juta.
“Lakeside Residences bakal memperkenalkan rumah berkembar dengan anggaran GDV RM158 juta, kami turut merancang untuk melancarkan rumah kedai komersial di Saujana Perdana dengan GDV RM93 juta.
“Selain itu, Loop City Residences juga telah membuat pelancaran sulungnya pada akhir April lalu, yang terdiri daripada 980 unit SOHO (small office, home office) dan pangsapuri servis dengan anggaran GDV sebanyak RM340 juta.
“Kami yakin bahawa kami mempunyai rangkaian produk baharu kukuh dan pelbagai yang mampu menarik minat pasaran lebih luas,” katanya.
Glomac mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.25 sen sesaham biasa bagi TK2024, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Tahunan akan datang. – KOSMO! ONLINE