PUTRAJAYA – Sistem kutipan cukai yang dilaksanakan di negara ini adalah bagi mengelak pentadbiran negara terpaksa berdepan dalam keadaan terus berhutang atau meminjam dana daripada luar negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dalam konteks ini, negara perlu mengambil tindakan drastik supaya negara tidak terjejas malah merisikokan generasi akan datang.
“Tetapi ada juga pengusaha di luar sana mengambil kesempatan untuk mengelak dari membayar cukai.
“Sebab itu mana-mana agensi kerajaan yang terlibat secara langsung mengutip hasil untuk negara, sebenarnya hasil kita kutip bukan untuk kita, tetapi kutip hasil untuk negara dan generasi akan datang,” katanya dalam sesi soal jawab pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan berhubung langkah kerajaan menambah bilangan pembayar cukai berbanding meningkatkan kadar cukai sedia ada.
Beliau yang juga Bekas Menteri Kewangan II berkata, banyak perkara yang dilaksanakan tidak boleh bertahan lama jika bersandarkan kepada hutang.
Katanya, perkara sama perlu dilakukan dalam sesebuah jabatan dengan melaksanakan perubahan jika boleh menjalankan tanggungjawab dengan efisyen, konsisten dan berdisiplin. – KOSMO! ONLINE