KEMAMAN – Seorang bayi perempuan berusia lima bulan patah tangan kiri dan mengalami pendarahan otak sewaktu berada di rumah pengasuhnya di Taman Banggol Indah, Paya Berenjut di sini semalam.
Bayi malang itu didapati berada dalam keadaan tidak bermaya sewaktu diambil ibunya pada pukul 11.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum itu, ibu mangsa telah menghantar anaknya ke rumah pengasuh pada pukul 10 pagi.
“Dia kemudiannya dihubungi pengasuh anaknya yang merupakan wanita berusia 29 tahun yang mendakwa mangsa berada dalam keadaan kurang sihat dan demam.
“Sebaik mengambil anaknya, wanita terbabit terus membawa mangsa ke Hospital Kemaman di sini untuk diperiksa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, pemeriksaan awal pegawai perubatan hospital itu mendapati tangan kiri bayi tersebut telah patah.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut kemudiannya mengesahkan berlaku juga pendarahan otak.
Hanyan berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan bagu memastikan sama ada berlaku pengabaian mahupun terdapat unsur jenayah sehingga mangsa cedera. – KOSMO! ONLINE