SEBAGAI usaha mengukuhkan kedudukan jenama perniagaan, para usahawan di negara ini dialu-alukan menghantar pencalonan dalam penganjuran The Knights Award 2024 musim ketiga yang bakal berlangsung pada 14 Oktober ini.
The Knights Award merupakan sebuah acara penghargaan yang dianjurkan untuk mengiktiraf kejayaan tokoh-tokoh serta para usahawan dari sekitar Asia.
Acara gilang gemilang itu kembali lagi tahun ini untuk musim ketiganya yang akan diadakan di Dewan Filharmonik Petronas, Menara Berkembar Petronas, KLCC.
Presiden The Knights Award, Dr. Zyro Wong berkata, untuk tahun ini, jawatankuasa penganjur berhasrat untuk meningkatkan lagi Anugerah The Knights Award ke tahap yang lebih tinggi.
“Misi The Knights Award adalah untuk mewujudkan perhubungan elit antara pemimpin untuk memacu kejayaan komuniti perniagaan dan pertumbuhan ekonomi.
“Misi keduanya pula adalah untuk memperkasa perniagaan dan individu dengan kecemerlangan jenama dan kepimpinan pasaran,” ujar Dr. Zyro dalam sidang media The Knights Award Musim 3 yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur.
Dalam sidang media itu juga, The Knights Award dan penganjur bersama, Mee Hiris China Muslim turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) sempena penganjurannya buat kali ketiga.
Mee Hiris China Muslim berhasrat untuk menyediakan masakan Cina Muslim halal terbaik di negara ini, menerusi inisiatif sebagai penganjur bersama The Knights Award.
Selain peluang menjalinkan hubungan baharu dengan pemilik perniagaan lain, Dr. Zyro berkata majlis yang diadakan nanti juga bakal menjadi platform untuk berinteraksi dalam kalangan pemilik perniagaan dan juga membuka peluang untuk sesi perkongsian serta peluang berkolaborasi dengan perniagaan lain.
Musim ini juga, beliau menjangkakan penyertaan daripada sekurang-kurangnya 30 buah negara.
“Menerusi setiap perkongsian baharu yang dijalin, kami membuka jalan kepada pemenang kami untuk mencapai sinergi yang lebih cemerlang.
“Musim ini merupakan musim yang dipenuhi dengan inovasi, kerjasama dan peluang yang tanpa sempadan,” katanya.
Sebanyak tiga kategori pengiktirafan akan diberikan kepada pemenang iaitu The Duke, The Earl dan The Baron.
Kategori The Duke termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, manakala The Earl merangkumi produk terkenal, ikon paling menonjol dan tempat kerja terbaik.
Sementara itu, pencipta kandungan yang juga merupakan pemenang bagi kategori The Baron The Knights Award musim lalu, Arieff Yong berkata, dia teruja apabila menjadi salah seorang penerima anugerah berprestij itu tahun lalu.
“Sejujurnya, sebagai seorang pencipta kandungan, saya berasakan bahawa kami jarang diberi penghargaan, memandangkan kerjaya ini disifatkan sebagai agak baharu.
“Oleh sebab itu, apabila mendapat pengiktirafan ini pada musim kedua yang lalu atas kerja keras saya, saya berasa cukup terharu,” katanya yang turut mengakui bahawa penganjuran The Knights Award musim lalu dibuat dengan sangat cemerlang.
Penyertaan The Knights Award Musim 3 yang dianjurkan bersama Mee Hiris China Muslim dibuka sekarang dan maklumat lanjut berkenaan pencalonan boleh diperoleh menerusi laman web www.theknightsaward.com.