fbpx

JPJ lancar kempen keselamatan sempena Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasbi melalukan tinjauan di Terminal Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini.

KUALA LUMPUR – Pergerakan besar-besaran warga kota ke arah Timur, Utara dan Selatan di lebuh raya – lebuh raya utama dijangka berlaku sempena sambutan Aidiladha pada Isnin depan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Susulan itu katanya, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Program Kesedaran dan Advokasi Bersasar kepada Pengguna Jalan Raya Bersempena Perayaan Hari Raya Aidiladha 2024 (Safety Awareness and Focused Advocacy for Road Users – SAFER HRAA 2024) bermula 10 hingga 23 Jun ini.

Beliau berkata, sempena Aidiladha nanti dijangka akan berlaku peningkatan jumlah trafik, selaras dengan tradisi warga Malaysia semasa musim cuti perayaan iaitu pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga.

“Program yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Raya Aidiladha Tahun 2024/ 1445H ini adalah bagi meneruskan usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya di musim perayaan.

“Kempen Keselamatan Jalan Raya Hari Raya Aidiladha pada kali ini adalah memfokuskan kepada Perjalanan Jauh (Long-Distance Journey),” katanya ketika sidang akhbar selepas melalukan tinjauan di Terminal Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sempena program tersebut hari ini.

Sementara itu beliau berkata, penumpang turut diingatkan untuk bekerjasama secara tidak langsung sebagai rakyat yang memerhati pemandu bas supaya memandu dengan lebih berhati-hati.

Dalam pada itu, sempena perayaan Aidiladha, JPJ juga turut mengadakan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2024 bermula 10 Jun sehingga
30 Jun ini.

“Ops Khas HRAA ini adalah bertujuan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan-peraturan atau undang-undang jalan raya yang berkuat kuasa.

“Pengguna jalan raya adalah dimohon untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna
jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya,” ujarnya.

Selain itu katanya, pengguna jalan raya juga boleh menyalurkan aduan berkaitan kesalahan jalan raya melalui pelaporan secara terus atau real time dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ melalui menu e-Aduan@jpj atau melalui aduan email JPJ [email protected].

“Pada musim perayaan ini, saya juga ingin menasihati pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan masing-masing telah diselenggara dengan baik dan selamat digunakan sebelum memulakan perjalanan.

“Perkara lain yang menjadi keutamaan adalah rancang perjalanan supaya pengguna jalan raya dapat menikmati perjalanan yang lebih lancar ke destinasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI