MEMENUHI keperluan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak adalah sesuatu yang penting kerana ia membantu mereka membesar dengan baik.
Namun begitu, Malaysia tidak terlepas daripada isu kekurangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2022, sebanyak 21.2 peratus kanak-kanak di Malaysia mengalami tumbesaran terbantut akibat kekurangan nutrisi.
Malah, menangani masalah tumbesaran terbantut dan kekurangan zat makanan melalui intervensi awal serta sokongan nutrisi berterusan sangat penting bagi meningkatkan kesihatan, selain pencapaian akademik kanak-kanak.
Pakar Perunding Endokrinologi Pediatrik di Jabatan Pediatrik, Pusat Pakar UM (UMSC), Prof. Madya Dr. Azriyanti Anuar Zaini berkata, nutrisi lengkap, tinggi kalori, padat nutrien dengan merangkumi nutrien penting seperti protein, kalsium, zink, fosforus, vitamin D dan DHA penting untuk perkembangan optimum tulang, otot serta otak kanak-kanak.
Menurutnya, nutrisi lengkap memainkan peranan penting dalam menangani masalah tumbesaran terbantut serta kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.
“Di samping itu, semua kanak-kanak memerlukan masa tidur yang mencukupi, masa bermain, serta penerapan tabiat nutrisi yang baik dalam rutin harian mereka.
“Jadi, sokongan dan pemantauan ibu bapa penting untuk memastikan semua keperluan ini dipenuhi,” katanya.
Dalam pada itu, nutrisi lengkap dan seimbang memainkan peranan kritikal dalam perkembangan kanak-kanak.
Menghurai lanjut, Dr. Azriyanti menjelaskan, cabaran nutrisi pediatrik bukan sekadar memenuhi keperluan diet penting, malah menghasilkan keputusan kesihatan jangka panjang.
“Jadi, penting untuk ibu bapa dan penjaga membawa anak-anak mereka pergi menjalani pemeriksaan tumbesaran sekurang-kurangnya sekali atau dua kali setahun.
“Jika terdapat sebarang tanda-tanda yang membimbangkan, bawalah anak-anak pergi berjumpa pakar kesihatan lebih awal,” jelasnya.
Dalam pada itu, cabaran ekonomi dan kos sara hidup yang kian meningkat telah menjejaskan kemampuan keluarga untuk menyediakan nutrisi mencukupi untuk anak-anak mereka.
Menyedari masalah itu, syarikat nutrisi makanan terkemuka, Danone tampil ke hadapan menawarkan sokongan nutrisi yang mampu milik serta bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak.
Pengarah Hal Ehwal Perubatan dan Akses Pasaran Inovasi Kesihatan SEA di Danone, Angie Low berkata, misi mereka adalah untuk memberi kesihatan yang baik melalui pemakanan kepada seberapa ramai yang boleh.
Jelasnya, pihaknya telah berinovasi untuk memberikan solusi nutrisi terbaik bagi menyokong pertumbuhan dan kesejahteraan kanak-kanak Malaysia.
“Semua produk kami, direka khas untuk memenuhi keperluan khusus kanak-kanak termasuk mereka yang mengalami masalah tumbesaran seperti kurang berat badan serta tumbesaran terbantut.
“Keutamaan kami adalah untuk melipat gandakan penyelidikan berkaitan nutrisi sebagai usaha untuk terus menawarkan penyelesaian dalam memberi impak positif terhadap kesihatan,” ujarnya.
Tambahnya, sempena meraikan Hari Nutrisi Sedunia, penting untuk memfokuskan kepada penyelesaian nutrisi yang lestari kepada kanak-kanak.
Ia bukan sekadar memahami keperluan nutrisi kanak-kanak, tetapi juga mengambil tindakan secara tegas.
Ujar Angie, pihaknya sangat komited untuk memperkasakan keluarga dengan pengetahuan serta memberi penyelesaian nutrisi bermutu tinggi, mampu milik dan disokong oleh sains.
Bukti saintifik sedia ada menyokong kepentingan pemantauan tumbesaran serta penyediaan nutrisi lengkap dan seimbang.
Ini membuktikan pengambilan suplemen nutrisi oral dapat menjadi penyelesaian dengan kos efektif sebagai sebahagian pengurusan nutrisi tumbesaran.
Ia membuktikan kepentingan intervensi nutrisi awal dalam menyokong tumbesaran kanak-kanak.
Angie berkata, nutrisi mencukupi bukan sekadar pemakanan yang baik.
“Ia adalah tentang membuat pilihan bijak yang menyokong kesihatan keseluruhan kanak-kanak.
“Jadi, memperkasakan ibu bapa dengan ilmu tentang nutrisi lengkap dan seimbang serta penambahbaikan diet boleh mengubah trajektori tumbesaran kanak-kanak dengan ketara,” katanya.