PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tetap meletakkan harapan cukup tinggi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mencongak segala peluang menjelang Terbuka Malaysia di Kuantan, Pahang bermula hari ini dan Terbuka Kazakhstan pada 23 Jun ini.
Bagi Azeem, terdapat dua cara untuk melayakkan diri ke Paris bulan depan apabila dia perlu bekerja keras mencatat masa bawah 10 saat untuk layak secara automatik ke temasya terbesar dunia itu.
Sekiranya gagal, atlet berusia 20 tahun itu masih berpeluang membuat kemunculan sulung ke temasya empat tahun sekali itu tetapi perlu mengumpul mata ranking untuk menempatkan diri dalam kelompok 56 pelari terbaik senarai kelayakan ke Paris yang berakhir hujung bulan ini.
“Ini akan menjadi musim panas yang sibuk untuk saya. Buat masa ini kita ada pelan B dan C ke Paris. Minggu ini akan hadapi perlumbaan Terbuka Malaysia dan Terbuka Kazakhstan. Selepas itu, kita akan sertai Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia dari 2 hingga 5 Julai.
“Perancangan untuk ke Paris adalah melalui dua cara iaitu ranking dunia ataupun had masa kelayakan. Jadi bagi saya, jurulatih dan seluruh pasukan MSN (Majlis Sukan Negara) sudah membuat perkiraan mengenai nasib saya di Terbuka Malaysia hujung minggu ini.
“Saya hendaklah memenangi perlumbaan 100 meter (m) dengan catatan sekurang-kurangnya 10.25 saat (s) dan ke bawah, saya boleh layak secara merit berdasarkan world ranking.
“Keputusan 10.25s ke bawah itu secara tidak langsung membantu menaikkan kedudukan ranking saya. Tidak silap saya, kedudukan ranking saya ketika ini telah terkeluar dari No. 56 dunia dan jatuh ke No. 64.
“Jika dapat buat apa yang saya cakap tadi, kemungkinan kedudukan saya akan berada dalam lingkungan No. 45 dunia. Ia adalah kedudukan terbaik buat saya untuk kekal dalam kedudukan 56 terbaik dunia ke Olimpik menerusi world ranking,” katanya.
Dalam pada itu, catatan 10s tetap menjadi sasaran Azeem, namun dia enggan tertekan kerana mahu mencari ketenangan semula untuk membantunya mendapatkan larian terbaik di negara sendiri.
“Kalau saya catat 10s sudah pasti saya akan melangkah ke Paris. Tetapi saya tak nak begitu selesa kerana Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan MSN merasakan seeloknya saya pergi ke Terbuka Kazakhstan untuk memungut mata tambahan.
“Jika ada rezeki dan saya berjaya tingkatkan catatan masa di sana, secara automatik kedudukan ranking dunia juga berubah sekali gus mengukuhkan kedudukan saya ke Olimpik Paris,” ujarnya.
Minggu lalu, Azeem melakukan larian pantas ketika membantu kuartet 4x100m Universiti Auburn merakam catatan 38.03s.
Untuk rekod, tiga rakan sepelatih Azeem di Universiti Auburn sudah layak ke Paris dan dia dijangka menyertai tiga pelari terbabit menjalani latihan pusat di Eropah selepas berakhir AUG.