LONDON – Legenda England, Jamie Carragher memberi bayangan juara bertahan, Itali bakal berdepan ‘malapetaka’ apabila dijangka tidak akan melepasi peringkat kumpulan pada kempen Euro 2024 kali ini.
Sebagai rekod, Itali yang menduduki ranking No. 9 dunia telah diundi dalam kumpulan maut bersama Albania, Sepanyol dan Croatia.
Menurut Carragher, cabaran terbesar skuad The Azzurri pada kempen kali ini adalah daripada Sepanyol yang dijangka tidak mempunyai masalah untuk mendominasi saingan Kumpulan B.
“Ini adalah kumpulan yang sukar tetapi saya jangkakan Sepanyol akan mendahului carta Kumpulan B, manakala Croatia menduduki status naib juara. Kemudian barulah Itali di tempat ketiga dan Albania di posisi terakhir.
“Saya lihat Itali sukar untuk lolos ke pusingan 16 terbaik walaupun berada di kedudukan ketiga kerana mungkin ada negara di peringkat kumpulan yang lain mampu meraih mata lebih tinggi berbanding Itali.
“Justeru, saya jangkakan mereka akan terkandas seawal peringkat kumpulan pada kempen kali ini,” kata Carragher.
Mengulas lanjut, bekas pemain pertahanan Liverpool itu turut optimis Perancis bakal bergelar juara dengan menewaskan tuan rumah, Jerman di pentas final nanti.
“Saya rasa Perancis akan menamatkan penantian sejak kali terakhir bergelar juara pada edisi 2000. Mereka miliki skuad paling sempurna yang memiliki pengalaman beraksi di Piala Dunia 2022 lepas,” katanya. – AGENSI