fbpx

PBU24 Suruhanjaya Syarikat Malaysia tarik minat lebih 800 usahawan di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penganjuran PBU24 di Kota Bharu, Kelantan telah mendapat sambutan menggalakkan daripada lebih 800 usahawan untuk menambah ilmu tentang aspek pengurusan perniagaan dan trasformasi ke arah pendigitalisasi.

KOTA BHARU – Program Bim­bingan Usahawan 2024 (PBU24) peringkat negeri Kelantan yang dianjurkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 5 Jun lalu berjaya menarik lebih 800 pe­n­yertaan usahawan.

Tujuan PBU24 diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal dalam bidang perniagaan bagi membentuk budaya keusahawanan yang kukuh.

Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja dapat mendedahkan golongan usahawan tentang pengurusan perniagaan yang berkesan, tetapi juga melibatkan aspek pengurusan, pemasaran, operasi, dan strategi.

“Selain memahami ilmu pengurusan perniagaan, saya yakin dan percaya bahawa adaptasi teknologi dan digitalisasi adalah kunci kejayaan perniagaan masa kini,” katanya pada Majlis Pelancaran PBU 2024 di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Ahmad Sabki me­nyampaikan sumbangan wakalah zakat korporat dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat CSR syarikat itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan menguasai kemajuan teknologi, para usahawan dapat merevolusikan perniagaan mereka dengan mencipta peluang baharu dan menawarkan produk serta perkhidmatan yang lebih baik bagi memastikan perniagaan terus kekal relevan.

“Saya yakin siri pertama PBU24 ini mampu mencapai objektif yang ditetapkan di samping menjadi platform terbaik untuk meneroka dan mempelo­pori ilmu keusahawanan dengan menggabungkan pengetahuan perniagaan kontemporari dengan teknologi dan digitalisasi terkini.

“Kita (SSM) turut menawarkan dan memberi galakan kepada golongan B40 dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa untuk mendaftarkan perniagaan secara percuma melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) yang mengecualikan fi pendaftaran dan maklumat perniagaan.

“Sehingga 30 April 2024, jumlah pendaftaran SPPP adalah sebanyak 110,004 terdiri daripada 53,421 pelajar IPT sepenuh masa dan 56,583 usahawan kumpulan B40,” kata beliau.

Oleh itu, beliau berharap peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang dan inisia­tif yang ditawarkan SSM melalui program tersebut dengan mendaf­tarkan perniagaan masing-masing.

Menurut beliau, memiliki entiti perniagaan yang sah adalah pen­ting untuk memberikan keyakinan kepada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan atau produk yang ditawarkan.

Katanya, perniagaan yang sah juga memberi manfaat untuk usahawan merebut pelbagai bantuan, malah turut berpeluang menyertai latihan keusahawanan yang disediakan oleh kerajaan atau agensi-agensi berkaitan.

“Selain itu, pendaftaran ini membolehkan akaun semasa perniagaan didaftarkan dengan mudah dan memberikan kebolehan mewujudkan kontrak atau perjanjian perniagaan dengan lebih lancar.

“Oleh itu, saya amat mengga­lakkan para peserta untuk ­menyertai sesi bimbingan, perbincangan dan sesi interaktif yang dijalankan dalam program ini dengan memberi perhatian penuh serta sokongan antara satu sama lain,” kata beliau.

Peserta juga boleh berkongsi pengalaman dan mempelajari strategi terbaik dalam menghadapi cabaran perniagaan.

Sementara itu, seorang peserta yang juga penerima Agihan Wakalah Zakat Korporat SSM, Zailani Mah Halim, 50, berkata, dia amat bersyukur kerana terpilih menerima zakat tersebut.

“Sebelum ini, saya merupakan pemborong barangan plastik, namun selepas diserang angin ahmar pada tahun lalu, saya tidak berupaya melakukan kerja dan hilang punca pendapatan.

“Alhamdullilah saya menerima bantuan zakat RM1,000 daripada pihak SSM dan wang ini dapat membantu meringankan beban kewangan yang kini ditanggung sepenuhnya oleh isteri, Che Norlizawai Che Mohd Nor, 42,” katanya.

Menurut Zailani, melalui prog­ram bimbingan kali ini yang diadakan di Kelantan, ia bukan sahaja membuka peluang kepada lebih ramai usahawan, malah ilmu yang diperoleh itu dapat mengembangkan perniagaannya ke tahap yang lebih baik.

Sementara itu, peserta program tersebut, Ahmad Nadzri Che Omar berkata, inisiatif SSM kali ini telah memberi banyak maklumat berguna buat usahawan di Kelantan.

“Terima Kasih pihak SSM atas pendedahan termasuk aplikasi TikTok supaya produk kami dapat diperkenalkan dengan lebih meluas lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga di Pasar Siti Khadijah itu menerangkan, u­saha memper­kenalkan produk dan perkhidmatan perlu mengikut peredaran masa dan pengunaan aplikasi media sosial seperti TikTok dan Facebook dilihat begitu bermanfaat dalam mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih jauh. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI