fbpx

Kontrak Faisal sehingga 2027, Selangor FC beri sokongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Shahril Mokhtar bersama Faisal Halim pada sidang media khas di Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memberi jaminan Faisal Halim tidak perlu risau tentang kebajikan serta keperluan sepanjang menjalani proses pemulihan daripada insiden simbahan asid ketika ini.

Menurut Shahril, status Faisal yang mesra dengan gelaran Mickey itu bersama Selangor FC juga ‘selamat’ memandangkan masih memiliki kontrak jangka panjang sehingga penghujung 2027.

“Kontrak Mickey bersama pasukan hingga 2027. Sebagai kelab profesional, sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai majikan untuk menjaga kebajikan semua pemain-pemain termasuk Mickey.

“Pihak kelab akan terus memberi sokongan kepada Mickey secara mental dan fizikal selain aspek kewangan sehingga dia dapat kembali beraksi semula.

“Dengan semangat yang dapat dipamerkan oleh Mickey, insha-Allah dia akan kembali,” kata Shahril pada sidang akhbar khas bersama Faisal di Pusat Latihan FAS, Shah Alam sebentar tadi.

Sebagai rekod, kehidupan Faisal seperti berubah 180 darjah apabila menjadi mangsa simbahan asid daripada individu tidak dikenali pada 5 Mei lepas.

Pemain kelahiran Mengkuang Titi itu pada awalnya dilihat agak kritikal selepas disahkan melecur tahap empat tetapi semakin stabil selepas menjalani empat pembedahan.

Selepas dibenarkan ‘discaj’ daripada hospital swasta pada 25 Mei lepas, Faisal mengambil keputusan untuk membuat kemunculan umum buat kali pertama hari ini bagi berkongsi perkembangan terkini karier serta tahap kesihatannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI