KOTA BHARU – Sebanyak 60 peratus daripada seramai 6,851 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menamatkan Latihan Peralihan di bawah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dikesan telah mempunyai kerjaya kedua pada tahun lalu.
Pendaftar Sektor Pengurusan Latihan Perhebat, Mohd. Zamri Mohd. Salim berkata, daripada peratusan itu, sebanyak 17 peratus bekerja dengan majikan, usahawan (20 peratus) dan usahawan tunas atau bekerja sendiri (23 peratus)
“Baki 40 peratus veteran dikesan sedang mencari pekerjaan. Oleh itu, Perhebat telah diberikan amanah untuk memantau veteran selama lima tahun selepas mereka menamatkan Latihan Peralihan di bawah langkah Pemantauan Untuk Kerjaya Kedua.
“Selain Perhebat, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) juga akan turut melakukan pemantauan berterusan terhadap veteran-veteran yang telah menamatkan latihan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Perhebat kepada 201 anggota ATM yang disempurnakan oleh Panglima Briged Kelapan Infantri, Brigedier Jeneral Muzamil Ali, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zamri memberitahu, langkah pemantauan oleh Perhebat dan JHEV adalah untuk memastikan kejayaan veteran dalam kerjaya kedua mereka dan dapat menjalani kehidupan sebagai orang awam dengan baik.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sebanyak 93.1 peratus atau 5,478 anggota tentera daripada kesemua tiga perkhidmatan ATM memilih untuk mengikuti Latihan Peralihan bersama Perhebat berbanding lain-lain institusi.
Katanya, Perhebat kini menggunakan silibus sendiri yang dirangka secara khusus melalui kajian rapi agar lebih lebih bersesuaian dengan anggota tentera sebagai seorang lelaki dewasa, berkeluarga, bekerja dan mempunyai tanggungjawab. – KOSMO! ONLINE