fbpx

HTA KL berjaya laksana pembedahan pemindahan hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Hospital Tunku Azizah (HTA) yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur berjaya melaksanakan pembedahan pemindahan hati pediatrik pertama melibatkan penderma hidup semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata , pembedahan itu melibatkan pemindahan sebahagian hati seorang wanita kepada anaknya yang berusia 1 tahun 6 bulan.

“Kejayaan itu merupakan pencapaian yang seterusnya dalam perkhidmatan pembedahan pediatrik HTA Kuala Lumpur. Pesakit berusia 1 tahun 6 bulan mendapat sebahagian hati ibunya (penderma hidup).

“Pembedahan selama 10 jam itu dilakukan oleh pasukan kakitangan perubatan yang terlatih dan mahir,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook beliau hari ini.

Noor Hisham berkata, pasukan perubatan yang terlibat dalam pembedahan itu termasuk pakar bedah pediatrik, pakar bedah hepatobiliari, pakar anestesiologi pediatrik, intensivis pediatrik, doktor perubatan, penyelaras transplantasi, jururawat dan pelbagai kakitangan sokongan lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkhidmatan pemindahan di Malaysia bermula pada tahun 1975 dan sejak itu ia semakin berkembang pesat di negara ini.

Jelas beliau, walaupun pandemik Covid-19 mengubah landskap kesihatan negara tahun ini, pasukan perubatan telah melakukan sebanyak 20 pemindahan hati.

“Terima kasih kepada pasukan atas tugas yang sangat baik dan kami berharap pesakit cepat sembuh,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI