PETALING JAYA – “Saya nak balik berehat dan tengok anak menantu di rumah,” luah Zahari Mohd. Reba.
Datuk kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dilihat tenang dan tersenyum ketika ditemui pemberita di sekitar Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.
“Sepanjang saya ditahan di IPD Petaling Jaya ,kami dilayan baik dan berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang profesional,” ujarnya.
Ketika ditanyakan mengenai pertuduhan anak dan menantunya pagi tadi, beliau mengakui tidak menerima sebarang maklumat itu susulan ditahan polis sejak pukul 2.30 petang semalam.
Sementara itu, peguam Fahmi Abd Moin berkata, kedua-dua anak guamnya dibebaskan dengan jaminan polis tepat pukul 2.30 petang hari ini.
“Mereka tidak ada apa-apa isu dan hanya diminta beri keterangan kepada polis bagi menyambung keterangan yang dah diberikan sebelum ini.
“Kami diberitahu bahawa datuk dan nenek Zayn Rayyan setiap kali akan dipanggil lapor diri sebulan sekali di IPD Petaling Jaya.
“Saya pasti datuk dan nenek akan mengikuti segala perintah polis dalam mencari siapakah pembunuh adik Zayn Rayyan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE