fbpx

Penampilan semula Ustaz Don dapat sambutan positif – RTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ustaz Don (tiga dari kiri) kembali mengendalikan program Salam Baitullah di saluran RTM semalam.

PETALING JAYA – Penampilan semula pendakwah selebriti terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Bijayid ataulebih dikenali sebagai Ustaz Don dalam program Salam Baitullah di Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini mendapat sambutan positif.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, berdasarkan respon orang ramai di media sosial rasmi RTM, penonton rancangan itu menyambut baik kemunculan semula Ustaz Don selepas direhatkan dari program tersebut.

Katanya, walau bagaimanapun penting bagi RTM untuk meredakan keadaan terlebih dahulu susulan isu yang berbangkit melibatkan pendakwah tersebut.

“Apa yang dapat dilihat seperti di media sosial kita, sambutan memang sangat positif. Jadi, saya rasa apa yang paling penting dari RTM ialah kita redakan dahulu dengan merehatkan Ustaz Don.

“Kerana ada yang bergaduh di media sosial mengenai perkara ini, jadi kita selesaikan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Suhaimi berkata, pertemuan yang diadakan dengan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) baru-baru ini menyelesaikan isu yang berbangkit sekali gus membolehkan Ustaz Don membuat penampilan semula di dalam program berkenaan.

“Pada RTM, kita buat program yang baik itu yang paling penting. Mengenai komen negatif, bila kita tiada ilmu kita cari orang berilmu, sebab itu Jakim bantu kita dan Ustaz Don juga sudah meminta maaf yang mana tersilap dan dibetulkan.

“Jadi, pada kita yang paling penting kita mencari kejernihan jiwa dalam setiap orang, kita maju ke hadapan. Kita jangan menghukum-hukum, bila semua dah sedar bagaimana untuk buat penambahbaikan, kita ‘move on’,” ujarnya.

Katanya, pihaknya juga akan memastikan setiap program yang disiarkan mengikut peraturan serta garis panduan yang sedia ada.

Terdahulu, Ustaz Don direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah yang disiarkan secara langsung di TV1 sejak 2 Jun lalu.

Beliau direhatkan daripada mengendalikan program berkenaan susulan pertikaian netizen membabitkan kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang diceritakan beliau ketika bersiaran di konti stesen radio hingga mengundang kritikan pelbagai pihak.

Susulan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengenai kenyataan Ustaz Don mengenai kisah Ummu Hani sebagai cinta pertama Nabi Muhammad SAW yang diragui.

Ustaz Don kemudian dipanggil Jakim baru-baru ini yang turut disertai wakil daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri dan Ustaz Fawwaz Fadhil.

Salam Baitullah adalah rancangan di saluran RTM yang bersiaran setiap kali musim haji. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI