PETALING JAYA – Sebanyak 59,940 syarikat diluluskan bagi subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) melibatkan sejumlah 198,046 kenderaan pengangkutan awam dan barangan sehingga semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, permohonan menyertai SKDS menunjukkan peningkatan kadar harian yang tinggi setelah pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel bermula pada 10 Jun.
Menurutnya, sehari sebelum pelarasan harga bermula iaitu pada 9 Jun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima keseluruhan permohonan daripada 40,264 syarikat melibatkan 156,242 kenderaan.
“Kelulusan permohonan meningkat pada kadar tertinggi pada 10 Jun yang merekodkan 8,584 syarikat melibatkan 19,612 kenderaan pengangkutan awamdan barangan.
“Ini adalah peningkatan sebanyak 7,097 (477 peratus) syarikat dan 16,584 (548 peratus ) kenderaan berbanding hari sebelumnya (9 Jun) yang hanya mencatatkan kelulusan permohonan sejumlah 1,487 syarikat dengan melibatkan 3,028 kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kelulusan serta-merta boleh diberikan melalui sistem MySubsidi Diesel sebaik permohonan disertakan dengan maklumat lengkap.
“KPDN menjangkakan permohonan akan terus meningkat khususnya sehingga 30 Jun selaras dengan tarikh akhir pembayaran semula secara tunai kepada penerima SKDS yang masih belum menerima fleet card,” katanya.
Ujarnya, KPDN menggesa syarikat pengangkutan yang layak untuk segera membuat permohonan melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my untuk mendapat manfaat subsidi bersasar yang ditawarkan oleh Kerajaan.
Pada 13 Mei, SKDS 2.0 ditawarkan kepada tambahan 14 jenis pengangkutan barangan menjadikan keseluruhan 33 jenis pengangkutan yang terlibat, termasuk penerima awal SKDS 1.0 iaitu 10 jenis kenderaan
pengangkutan awam.
KPDN telah merintis perluasan Budi Madani: SKDS 2.0 pada 7 Mac yang pada awalnya hanya terbuka kepada sembilan jenis kenderaan pengangkutan barangan. – KOSMO! ONLINE