SEPANG – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menegur kecenderungan agensi penguatkuasaan tertentu untuk ‘menyimpan’ pegawai yang bermasalah dalam isu salah laku dan rasuah.
Pengerusinya, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, mana-mana ketua jabatan yang tidak mengambil tindakan terhadap pegawai tersebut boleh dianggap melakukan satu kesalahan.
“Saya percaya perbuatan penguat kuasa dan penjawat awam yang tidak berintegriti ini pada akhirnya akan diketahui oleh agensi masing-masing.
“Namun terdapat kecenderungan agensi untuk ‘menyimpan’ pegawai yang bermasalah ini. Ini harus dihentikan.
“Mengekalkan pegawai bermasalah tidak akan membawa kepada penambaikan terhadap usaha pengukuhan integriti,” katanya ketika berucap pada mesyuarat EAIC bersama ketua jabatan agensi penguatkuasaan di sini hari ini.
Menurut Ismail, amalan pada ketika ini adalah dengan menukarkan pegawai yang bermasalah ke tempat lain, namun ia umpama roda yang tidak henti berputar.
Jelasnya, pegawai yang ditukarkan akan melakukan perkara yang sama di tempat baharu, dan lebih teruk lagi, mempengaruhi pegawai dan kakitangan di tempat baharu untuk melakukan perbuatan salah laku dan tidak berintegriti.
“Menjadi kebimbangan juga apabila sesetengah penjawat awam dan penguat kuasa saling menggunakan pihak ketiga sebagai contoh syarikat perniagaan dan individu berpengaruh untuk melindungi kegiatan salah mereka.
“Kewujudan kartel yang cuba memonopoli dan memanipulasi pasaran terutamanya terhadap beras putih tempatan, telur ayam dan lain-lain bahan asas menyebabkan kerugian kepada negara,” katanya.
Beliau berkata, lebih menyedihkan terdapat pihak atasan yang bersekongkol dalam aktiviti salah laku ‘anak buah’, selain ada menjadi ‘kepala’ kepada perbuatan ini yang sangat-sangat mencemarkan imej perkhidmatan awam.
Tegasnya, sesiapa dalam kalangan perkhidmatan awam yang melakukan salah laku serta melanggar prinsip integriti perlu dibuang dari sistem termasuk ketua jabatan itu sendiri jika melindungi kegiatan salah laku.
“Tindakan tidak popular ini perlu berani diambil. Walaupun tidak disukai, tetapi tindakan berani seperti itu boleh menyelamatkan imej perkhidmatan awam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE