RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 mengagalkan cubaan menyeludup lebih 1.67 tan daging sejuk beku ke negara jiran sewaktu banjir sedang melanda Kampung Bukit Lata, Jeram Perdah di sini malam tadi.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan daging sejuk beku bernilai RM 46,972.80 itu dilakukan pada pukul 9.48 malam di kawasan tersebut.
Katanya, anggota PGA menjalankan rondaan rutin berhampiran pangkalan haram Jitong sebelum melibat dua lelaki sedang memunggah kotak-kotak keluar dari sebuah van.
Menurutnya, semasa anggota PGA menghampiri kenderaan tersebut, kedua-dua lelaki itu terus melarikan diri dengan menggunakan van tersebut.
“Anggota PGA telah bertindak mengekori van itu sehingga ke Kampung Bukit Lata, Jeram Perdah.
“Dua lelaki terus memberhentikan van tersebut dan melarikan diri bagi mengelakkan mereka ditangkap anggota PGA yang bertugas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Azhari memberitahu, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu telah membawa kepada penemuan pelbagai jenama daging sejuk beku yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
Katanya, siasatan awal mendapati daging tersebut cuba diseludup ke negara jiran menggunakan laluan haram bagi mengelakkan bayaran cukai.
“Kita tidak menolak kemungkinan daging itu untuk pasaran tempatan di negara jiran.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk van dianggar berjumlah RM66,972.80,” ujarnya.-K! ONLINE