SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan tiga percubaan menyeludup masuk tembakau kunyah bernilai RM253,393 ke dalam negara di antara Mei hingga awal bulan ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, dua daripada kes berkenaan dikesan di Cawangan Pemeriksaan Penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, manakala satu lagi kes di kawasan Zon Perdagangan Bebas (FCZ) di sini.
Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 5,067.9 kilogram (kg) tembakau kunyah dirampas menerusi pemeriksaan yang dijalankan dengan anggaran duti dan cukai berjumlah RM409,411.
“Pada 29 Mei, Bahagian Penguatkuasaan Unit III Zon Tengah berjaya menyita sejumlah 2,700 kg tembakau kunyah yang cuba diimport tanpa permit yang sah dengan barang dagangan diikrarkan sebagai ‘console’ bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Selepas barang dagangan itu disita, tiada mana-mana pihak sama ada ejen mahu pun pengimport yang tampil untuk membuat tuntutan atau mengemukakan dokumen. Selain itu, siasatan turut mendapati alamat yang diletakkan pada barangan tersebut adalah palsu,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Norlela berkata, JKDM turut menahan empat penumpang lelaki berusia lingkungan 23 hingga 55 tahun warga Asia Selatan pada 3 dan 7 Jun lalu yang cuba menyeludup masuk tembakau kunyah seberat 117.9 kg di dalam tujuh buah bagasi.
“Pemeriksaan ke atas semua bagasi menjumpai tembakau kunyah seberat 2,250 kg yang bernilai RM112,500 dengan anggaran duti dan cukai berjumlah RM141,187.50,” ujarnya.
Norlela berkata, kesemua mereka direman sehingga 17 dan 21 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(f) Akta Kastam 1967, manakala kes di FCZ disiasat dibawah Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991. – KOSMO! ONLINE