KUALA LUMPUR – Barangkali punya sebab tersendiri, baik Aliff Aziz mahupun Bella Astillah masing-masing enggan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami isteri.
Pada prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini, Hakim Syarie bertanya sama ada Bella dan Aliff mahu bersalaman buat kali terakhir sebelum talak dilafazkan, bagaimanapun kedua-duanya menolak untuk melakukan sedemikian.
Dalam prosiding hari ini, Bella diwakili peguam syarie Azmi Mohd. Rais manakala Aliff diwakili peguam syarie Abdul Hadi Mohamad Salleh.
Menurut Azmi di hadapan hakim, beberapa terma sudah dipersetujui Aliff dan Bella dalam perjanjian yang sudah ditandatangni bersama ialah tidak menuntut harta sepencarian dan defendan (Aliff) menggugurkan dakwaan nusyuz terhadap plaintif (Bella)
“Sepatutnya laporan JKP dibacakan bagaimanapun ada berlaku perbincangan dan ada penyelesaian secara global dan baik oleh kedua-dua belah pihak.
“Beberapa terma telah dimasukkan. Dalam perjanjian ini, defendan setuju untuk melafazkan cerai dan plaintif sudah melepaskan tuntutan bagi nafkah idah, hutang perkahwinan, mutaah dan harta sepencarian.
“Hak penjagaan anak juga diserahkan sepenuhnya kepada Bella sebagai ibu kandung.
“Pihak defendan juga menggugurkan nusyuz terhadap plaintif yang difailkan sebelum ini. Semua terma itu dimasukkan dalam perjanjian yang ditandatangani hari ini,” ujarnya.
Pada 11 Mac lalu, Bella telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Aliff secara `fast track’ atas antaranya alasan sudah tiada lagi persefahaman dan mawaddah (cinta dan kasih sayang).
Namun, pada 4 April lalu, Aliff enggan menceraikan Bella atas alasan masih sayang terhadap isterinya.
Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.
Pasangan ini pernah mengambil keputusan untuk bercerai pada 16 Mei 2019 selepas Aliff beberapa kali kantoi berlaku curang namun kembali rujuk ketika Bella dalam tempoh idah.
Terdahulu, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhanies, 32, di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Sebelum ini, Bella dan Aliff pernah bercerai talak satu sekitar tahun 2020 namun kembali rujuk dua bulan kemudian sebelum mengesahkan dirinya hamil anak kedua ketika itu. – KOSMO! ONLINE