PUCHONG – Polis menyelamatkan buruh warga asing berusia 13 tahun yang dieksploitasi bekerja di sebuah bengkel kereta di Taman Perindustrian Puchong Utama, di sini, semalam.
Remaja lelaki tersebut antara lima buruh asing bawah umur yang berjaya diselamatkan oleh Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Pintas Mega sekitar pukul 12 tengah hari.
Ketika ditemui di lokasi serbuan, remaja berkenaan memaklumkan ditugaskan membuat kerja-kerja mengecat kenderaan pelanggan selain bekerja selama enam hari seminggu untuk upah sebanyak RM45 sehari.
“Saya datang dari Myanmar dan bekerja di sini lebih kurang satu tahun dan tinggal bersama bapa di sebuah rumah tak jauh dari kedai ini,” katanya.
Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kelima-lima remaja warga asing yang diselamatkan berusia antara 13 hingga 17 tahun.
Jelas beliau, fokus operasi untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang atau eksploitasi buruh paksa dengan berpandukan kepada National Guideline On Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
“Pihak polis berjaya menyelamatkan lima mangsa lelaki bawah umur. Dalam pada itu, 22 lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 31 tahun ditahan di bawah Seksyen 15 Akta ATIPSOM 2007 dan 55B Akta Imigresen 1959/63.
“Dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 41 sehingga 46 tahun berperanan sebagai pemilik, pengurus dan akauntan premis berkenaan juga ditahan di bawah Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Tambah Suffian, premis serbuan merupakan sebuah bengkel baik pulih kenderaan dan hasil siasatan mendapati perniagaan tersebut telah beroperasi hampir 20 tahun.
Kata beliau, semasa serbuan dibuat, semua pekerja dan mangsa sedang melakukan kerja-kerja baik pulih dan memasang alat ganti kenderaan.
Dalam perkembangan berasingan, Suffian memaklumkan pihaknya turut melakukan serbuan serta pemeriksaan di sebuah kedai mencuci kereta di Shah Alam,Selangor, pukul 8.30 malam, semalam.
Jelasnya, pemeriksaan berjaya menyelamatkan seorang remaja berusia 16 tahun bekerja sebagai pencuci kereta.
Tambah beliau, mangsa dimaklumkan sudah bekerja selama enam bulan di premis tersebut dengan bayaran RM40 selain bekerja selama 12 jam sehari.
Kata Suffian, tangkapan lain turut dilakukan membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 24 tahun berperanan sebagai penyelia premis.
“Turut seorang lelaki Bangladesh dan dua lelaki Myanmar berusia 27 hingga 32 tahun berperanan sebagai pencuci,” katanya. – KOSMO! ONLINE.