ISTANBUL, TURKIYE – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan lawatan kerja rasmi ke Turkiye berjaya mencapai matlamat, seterusnya bermanfaat kepada industri pertahanan negara.
Katanya, hasil lawatan rasmi selama lima hari itu terus mengukuhkan hubungan pertahanan antara kedua-dua negara selain meningkatkan pengetahuan kepada delegasi Kementerian Pertahanan.
“Secara umumnya, kita berpuas hati dan terima kasih kepada semua yang telah turut terlibat bagi menjayakan program ini.
“Lawatan ini bersifat mendapatkan maklumat serta menyentuh soal pembangunan industri pertahanan termasuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan” katanya pada sidang akhbar di sini.
Hari ini merupakan hari terakhir lawatan rasmi Mohamed Khaled ke Turkiye sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 12 Disember tahun lepas.
Dalam lawatan itu, terdapat beberapa pertemuan dibuat antaranya bersama rakan sejawatnya di Turkiye, Yasar Guler selain bertemu agensi pelaksanaan industri dan sekretariat industri pertahanan Turkiye.
Pada masa sama, Mohamed Khaled juga berpelung bertemu syarikat-syarikat ternama pertahanan negara Turkiye seperti Turkish Aerospace Industries, Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM), Aselsan, dan Makine ve Kimya Endustrisi (MKI).
Mengulas lanjut, katanya, beberapa perkara dibincangkan juga banyak memberi manfaat kepada Malaysia, seterusnya mengukuhkan hubungan dua hala dan usaha membangunkan industri pertahanan negara.
“Jadi, secara rumusannya, memang satu lawatan yang sangat bermakna, bernilai dan bermanfaat untuk negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE