fbpx

Jaminan berkongsi teknologi, Turkiye jadi keutamaan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled bercakap kepada pemberita Malaysia selepas selesai lawatan rasmi ke Turkiye selama lima di Istanbul, Turkiye hari ini. - Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/ KOSMO!

ISTANBUL, TURKIYE – Turkiye disifatkan akan menjadi pilihan utama Malaysia menerusi aspek pertahanan susulan jalinan kerjasama erat yang terjalin antara kedua negara selain ketersediaan republik itu berkongsi kepakaran serta pengetahuan.

Itu reaksi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika ditanya mengenai adakah Malaysia akan memberikan keutamaan kepada Turkiye khususnya dalam aspek pertahanan termasuk perolehan aset berikutan jalinan kerjasama yang terjalin ketika ini.

“Bukanlah setahun dua kita beli peralatan perang, sudah bertahun-tahun. Dan kita tahu, kadang-kadang orang beli, dia tidak beri semua.

“Tetapi, dengan Turkiye, apa sahaja kita mahu, mereka bersedia berkongsi. Jadi, tentunya itu sesuatu yang sangat menarik bagi Malaysia.

“Apabila kita melalui hubungan ini, kalau betul itu berlaku, maka dia tetap akan menjadi pilihan utama,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini.

Hari ini merupakan hari terakhir lawatan rasmi Mohamed Khaled selama lima hari ke Turkiye
sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 12 Disember tahun lepas.

Dalam lawatan itu, terdapat beberapa pertemuan dibuat antaranya bersama rakan sejawatnya di Turkiye, Yasar Guler selain bertemu agensi pelaksanaan industri, sekretariat industri pertahanan Turkiye serta syarikat-syarikat ternama pertahanan republik terbabit.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata, Malaysia juga akan memberi peluang kepada negara lain sekiranya ada teknologi yang tidak dicapai oleh Turkiye.

“Melainkan satu-satu teknologi yang mereka memang tidak capai yang kita tidak ada pilihan dan terpaksa bergantung pada negara lain.

“Jadi, kita letakkan standard di mana kalau Turkiye melepasi standard yang kita tetapkan, kalau kita puas hati, memang apa kita mahu semua dia bagi, jadi bila orang melamar kenapa kita tidak mahu terima,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI