fbpx

[VIDEO] ‘Oyen Ucuk’ didakwa kali ketiga, sokong pengganas IS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH didakwa di Mahkamah Sesyen Muar, Johor hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan pengganas IS.

MUAR – Seorang pekebun berdepan hukuman penjara 54 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menyokong dan memiliki item berkaitan pengganas Islamic State (IS), sejak tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Sani Mahdi Sahar hanya berdiam diri dan tiada pengakuan direkodkan sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama Abu Ibrahim (dalam Bahasa Arab) yang kemudiannya ditukar ke nama ‘Oyen Ucuk’.

Perbuatan itu dikesan dilakukan pada pukul 9 pagi di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara 2 Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 19 Disember 2023 dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 40 tahun atau dengan denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memiliki item iaitu tiga gambar yang dikaburkan dengan keterangan gambar yang menyatakan individu dalam gambar-gambar tersebut berbai’ah kepada Abu Hafsah Al-Hasimi Al-Quroshi yang merupakan pemimpin IS kelima.

Tertuduh juga didakwa memiliki item iaitu gambar memperingati insiden militan yang berkait dengan IS telah menawan suatu kawasan di Mozambique pada tahun 2020.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan dalam Facebook miliknya atas nama Abu Ibrahim (dalam Bahasa Arab) yang kemudiannya ditukar ke nama ‘Oyen Ucuk’ masing-masing pada 26 Mac pada pukul 8 malam dan 30 April 2024 pada pukul 9.16 malam yang dikesan di lokasi sama.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syafiq Hasim dan Siti Hajar Mat Radzi memohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan serahan laporan forensik.

Tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak diwakili Peguam Norain Sakina Zakri.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 30 Julai depan untuk sebutan semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan serahan dokuman.

Tertuduh sebelum ini pernah didakwa sebanyak dua kali dan dijatuhkan hukuman masing-masing penjara 18 bulan pada 2016 dan enam tahun pada 2018 atas kesalahan berkaitan IS. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI