PETALING JAYA – Peguam mewakili ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin enggan mengulas mengenai pertuduhan yang akan dikemukakan terhadap anak guamnya hari ini.
Ketika ditanya sama ada anak guamnya akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, peguam Mahmud Jumaat menjawab tidak pasti.
“Not sure (tidak pasti), saya pun tidak pasti, banyak benda berlaku semalam. Hari ini saya dimaklumkam oleh pegawai penyiasat akan dakwa (ibu Zayn Rayyan),” katanya.
Terdahulu, peguam Fahmi Abd. Moin yang mewakili bapa Zayn Rayyan ketika dihubungi mengesahkan ibu bapa kanak-kanak itu akan didakwa pada pagi ini.
Pasangan suami isteri tersebut ditahan di Puncak Alam. Mereka ditahan reman sejak 1 Jun lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autistik itu.
Pasangan berusia 28 tahun itu direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 7 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di kawasan anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.
Mayat kanak-kanak tersebut ditemukan oleh sekumpulan penduduk kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. -KOSMO! ONLINE