PETALING JAYA – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menafikan pihaknya telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menangkap seorang lelaki yang disyaki merupakan penagih dadah, semalam.
Perkara tersebut merujuk kepada satu ciapan tular di aplikasi X, hari ini oleh seorang wanita yang mendakwa adik lelakinya telah ditangkap oleh pihak AADK tanpa mengikut SOP yang ditetapkan.
Dalam ciapan tersebut, wanita tersebut mendakwa pihak AADK telah melanggar SOP dengan tidak memaklumkan ahli keluarga atas penangkapan adik lelakinya itu.
Menurut kenyataan AADK, penahanan individu tersebut adalah tidak melebih tempoh 24 jam dan masih mematuhi SOP yang ditetapkan dalam APD (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Tambahnya, sewaktu operasi dijalankan, pegawai AADK telah memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa.
“Pun begitu, ketika penahanan orang yang disyaki (OYDS) itu dilakukan, terdapat seseorang yang berada di lokasi yang sama dalam keadaaan yang mencurigakan.
“Apabila pegawai cuba mendekati individu tersebut dan memperkenalkan diri sebagai pegawai AADK, dia bagaimanapun bertindak melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, tindakan tersebut menimbulkan kecurigaan yang munasabah dan membawa kepada penangkapan individu berkenaan.
“Selepas kedua-dua ditahan, pegawai AADK telah mempamerkan sekali lagi kad kuasa dan ketika semakan dalam sistem MyAADK dibuat, seorang daripada individu tersebut telah menolak pegawai AADK bagi cubaan melarikan diri buat kali kedua.
“Tindakan itu membawa kepada penahanannya dan di bawa ke Pejabat AADK Daerah Cheras untuk tindakan dokumentasi dan ujian-ujian tertentu bagi mengenal pasti sama ada penagih ataupun tidak,” jelasnya.
Menurut AADK, lelaki tersebut kemudiannya dilepaskan susulan keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati individu tersebut negatif dadah.
“AADK mengambil serius berkenaan tatakelola pegawai dan akan lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas,” katanya. – KOSMO! ONLINE