fbpx

K2

Bolehkah kebumi jenazah bersama benda?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Benda yang terdapat pada jenazah perlu dinilai sama ada berharga atau tidak sebelum tindakan membuangnya diambil. – Gambar hiasan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang ayah saya yang sekarang ini berada dalam keadaan tenat. Doktor telah memasukkan Percutaneous Endoscopic Gastrostomy (PEG) tiub di dalam badannya untuk tujuan menyalurkan makanan terus ke perut. Soalan saya, jika dia meninggal dunia, apakah hukum mengebumikan dia tanpa mengeluarkan alat tersebut kerana difahamkan ia perlu dikeluarkan melalui pembedahan? Mohon pencerahan.

Jawapan: Pada asasnya, Allah SWT memuliakan manusia dan mengangkat kedudukannya berbanding makhluk-makhluk lain. Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya, Kami telah memuliakan anak-anak Adam.” (Surah al-Isra’: 70)
Ibn Kathir mentafsirkan ayat di atas bahawa Allah SWT memuliakan manusia dengan menciptakan mereka dengan penciptaan paling baik dan sempurna.

Selain itu, Nabi SAW pernah menyatakan bahawa kehormatan dan kemuliaan manusia tidak hilang disebabkan kematiannya.

Sabda Rasulullah SAW: “Mematahkan tulang orang yang telah mati sama seperti mematahkannya ketika dia hidup.” (Riwayat Abu Dawud, 3207)

Oleh yang demikian, dapat difahami daripada nas di atas bahawa menyakiti jenazah adalah haram seperti perbuatan membedah, memotong anggota dan mematahkan tulang, yang sama hukumnya pada ketika dia hidup.

Bagaimanapun, terdapat keadaan-keadaan yang dibolehkan untuk pembedahan mayat atas keperluan darurat seperti yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004.

Muzakarah tersebut membincangkan hukum bedah siasat mayat yang kematiannya bukan dikategorikan sebagai kes jenayah dan memutuskan bahawa hukum asal pembedahan mayat adalah haram.

Namun, dibolehkan dalam keadaan darurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenal pasti punca kematian, serta penyelidikan dan pendidikan khususnya dalam bidang perubatan. (Rujuk artikel Irsyad al-Fatwa siri ke-94: Hukum Melakukan Autopsi Ke Atas Mayat dan Bayan Linnas Siri ke-57: Post Mortem Mayat: Hukum Islam & Pendapat Ulama).

Berkaitan persoalan di atas, jenis tiub yang disebutkan adalah salah satu cara menyalurkan makanan atau dalam istilah perubatan, lebih dikenali sebagai enteral nutrition.

Ia dicadangkan kepada pesakit yang mempunyai masalah pengambilan makanan melalui mulut seperti masalah pergigian (maksilofacial), masalah penelanan, masalah penyumbatan/sekatan dalam saluran penghadaman dan perkara lain yang menghalang pengambilan makanan secara biasa dengan mencukupi.

Dari sudut hukumnya, sekiranya benda yang berada di dalam tubuh jenazah itu merupakan sesuatu perkara yang tidak bernilai, maka tidak perlu dikeluarkan.

Ini kerana, perbuatan itu boleh mencacatkan dan menyakiti mayat.

Selain itu, ia bukan dalam kategori darurat dan keperluan mendesak. (Rujuk artikel Al-Kafi, 629 : Hukum Menanggalkan Pendakap Gigi Dan Gigi Palsu Dari Jenazah dan Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-585 : Hukum Gigi Palsu Yang Ditanam Bersama Jenazah).

Bagaimanapun, sekiranya benda tersebut berharga dan boleh untuk digunakan kembali, maka perlu dikeluarkan supaya tidak mensia-siakan harta.

Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Baghawi bahawa: “Jika seseorang tertelan permata (yang berharga) kemudian meninggal dunia, maka hendaklah dibedah perutnya serta dikembalikan permata itu kepada orang yang berhak.” (Rujuk al-Tahzib, 2:424)

Oleh yang demikian, penentuan sama ada sesuatu benda, tidak kira alatan perubatan atau selainnya yang berada di dalam badan jenazah perlu dibuang atau sebaliknya adalah bergantung kepada dua aspek seperti yang dibincangkan di atas.

Pertama, adakah ia akan menyebabkan kecacatan pada jenazah ataupun tidak?

Manakala kriteria kedua, adakah benda tersebut berharga ataupun tidak?

Oleh itu, perkara ini perlu dirujuk pada pakar perubatan.

Kesimpulannya, jika benda tersebut tidak mencacatkan tubuh badan jenazah dengan membuangnya, maka perlu untuk membuangnya kerana tiada mudarat ke atas jenazah.

Jika mencacatkan jenazah dan benda yang berada dalam badan jenazah itu tidak berharga, maka tidak perlu dibuang kerana keperluan mendesak atau darurat.

Namun, sekiranya benda tersebut merupakan barang yang berharga dan bernilai, maka perlu dikeluarkan walaupun dengan cara membedahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI