PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat untuk menyelesaikan isu tertangguh Malaysia-Singapura secara baik sebelum Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura hujung tahun ini.
Perdana Menteri berkata, antara isu melibatkan perjanjian air dan sempadan maritim Malaysia.
Jelasnya, beliau turut mengakui ia adalah agak merumitkan, namun menyifatkan jika ia dapat diselesaikan mampu memberi manfaat kepada negara.
“Saya bagi jaminan kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong bahawa saya akan pastikan pegawai kita bekerja lebih pantas sekiranya boleh dan jika tidak, mereka perlu kemukakan kepada perhatian saya.
“Ia akan menjadi hebat jika kita dapat selesaikan sebelum mesyuarat dua hala menjelang akhir tahun ini. Kalau kita boleh selesaikan esok, minggu depan kami akan menjemput Wong untuk datang (Malaysia),” katanya pada sidang akhbar bersama Wong di Seri Perdana, hari ini. – KOSMO! ONLINE