PUTRAJAYA – Malaysia dan Singapura berpotensi besar dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi khususnya melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di Johor yang dimeterai antara kedua-dua pihak.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata, inisiatif berkenaan boleh berjaya untuk kerjasama perdagangan dan pelaburan termasuk pembinaan Rapid Transit System Link (RTS) yang boleh meningkatkan perhubungan antara kedua-dua negara.
“Projek itu mampu untuk melengkapkan segala yang ada antara Malaysia dan Singapura kerana ada yang beranggapan kedua-dua negara ini bersaing dari segi ekonominya.
“Hakikatnya, kami melengkapkan antara satu sama lain dan pesaing kami adalah negara di luar sana. Singapura, Malaysia bersaing dengan negara luar dari wilayah ini,” katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, di sini hari ini.
Menurut Lawrence, sekiranya kedua-dua negara terus bergerak dengan polisi dan perancangan jelas, JS-SEZ akan membuka pelbagai peluang ekonomi buat kedua-dua negara.
Jelasnya, ia sekali gus membawa manfaat kepada penduduk Malaysia dan Singapura sebaik sahaja inisiatif berkenaan mula menampakkan hasilnya. – KOSMO! ONLINE