TEL AVIV – Kira-kira 90 bedilan peluru dilepaskan dari Lebanon ke utara Israel hari ini, selepas serangan Rejim Zionis membunuh seorang komander kanan Hizbollah di selatan negara itu semalam.
“Sebentar tadi, kira-kira 90 peluru dikenal pasti melintasi Lebanon menuju ke utara Israel,” kata tentera Zionis dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, beberapa peluru yang dilepaskan dari Lebanon dapat dipintas tetapi selebihnya mengenai kawasan di utara Israel sehingga mencetuskan kebakaran di sebilangan tempat.
Hizbollah dan Israel melancarkan serangan hampir setiap hari di sempadan sejak Gaza diserang pada Oktober tahun lalu.
Semalam, Israel melancarkan serangan ke atas bandar di selatan Lebanon yang membunuh seorang pemimpin kanan Hizbollah.
Sumber dari kumpulan pejuang itu berkata, komander tersebut dikenal pasti sebagai Taleb Sami Abdallah, atau dikenali sebagai Abu Taleb.
Tambah sumber itu lagi, Abu Taleb merupakan antara individu terpenting dalam pergerakan tersebut sejak permulaan perang sehingga sekarang.
Serangan Israel tersebut mengenai bandar Jouaiyya yang terletak 15 kilometer dari sempadan, serta turut membunuh tiga individu lain. – AFP