PETALING JAYA – Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk menggandakan dan menggembleng usaha untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, di mana situasi rakyat Palestin semakin meruncing.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia termasuk dalam konteks pemulihan dan pembangunan semula Gaza yang memerlukan sokongan semua pihak memandangkan ia akan memakan kos yang tinggi dan mengambil masa yang panjang.
“Pada masa sama, saya telah menekankan bahawa genjatan senjata yang berkekalan, serta penyelesaian politik perlu dilaksanakan, bagi penyaluran bantuan kemanusiaan yang berkesan.
“Perbincangan juga telah menjurus kepada masalah-masalah utama akibat sekatan rejim Israel, antaranya penutupan pintu sempadan Rafah, larangan ke atas barangan yang mempunyai ciri dwi-guna (dual use).
“Ini termasuk juga kekangan kemasukan lori pengangkutan bantuan kemanusiaan, di mana anggaran keperluan muatan yang diperlukan adalah sebanyak 1,000 lori setiap hari,” jelasnya ketika menyampaikan kenyataan negara pada sidang kemuncak tergempar mengenai krisis kemanusiaan Gaza di Jordan malam tadi.
Oleh yang demikian, jelas Mohamad, beliau telah menyatakan dengan tegas bahawa semua pihak harus menyokong usaha-usaha ke arah mencapai penyelesaian damai.
Bagi mencapai hasrat tersebut, beliau telah menggariskan tiga perkara seperti berikut, yang pertama adalah punca utama konflik, iaitu pendudukan haram dan kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin harus dihentikan.
“Akauntabiliti melalui ‘reparative approach’ harus disabitkan ke atas Israel.
“Bantuan kemanusiaan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya UNRWA, harus diperkasakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.