PETALING JAYA – Ibu kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin selesai memberi keterangan di hadapan majistret di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Wanita berusia 28 tahun itu dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah pada pukul 12.50 tengah hari tadi.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Kompleks Mahkamah di sini menjadi tumpuan orang ramai sejak pukul 7.30 pagi berhubung kes reman ibu bapa Zayn Rayyan.
Bagaimanapun, pengamal media tidak dibenarkan masuk apabila kompleks itu dikawal ketat pihak berkuasa dan hanya pihak yang mempunyai urusan sahaja.
Peguam Fahmi Abd. Moin dan Mahmud Jumaat yang mewakili pasangan tersebut tiba di Kompleks Mahkamah di sini pada pukul 11.15 pagi.
Difahamkan ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiiin yang direman sejak 1 Jun lalu bagi membantu siasatan juga telah tiba lebih awal dengan menaiki sebuah van sekitar pukul 10.30 pagi.
Sebelum ini pasangan itu ditahan dan direman tujuh hari hingga 7 Jun ini di Mahkamah Petaling Jaya bagi membantu siasatan pembunuhan kanak-kanak autistik itu.
Kedua-dua pasangan berusia 28 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sebelum itu mereka ditahan di sekitar Puncak Alam.
Pada 7 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai sekitar pukul 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. -KOSMO! ONLINE