PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM19.2 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (S1 2024), naik 33.1 peratus daripada RM14.42 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama, tahun lepas.
Pendapatan boleh agih itu tidak termasuk keuntungan ‘mark-to-market’ (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi pasaran global pada suku pertama 2024 adalah berikutan pertumbuhan global yang berdaya tahan, terutamanya bagi ekonomi maju.
Jelasnya, indeks FBM KLCI meningkat 10 peratus setakat tahun ini, mencerminkan peningkatan keyakinan dalam pertumbuhan dan kesan pelbagai dasar baharu terhadap ekonomi dan industri.
“Di peringkat antarabangsa, ekonomi Amerika Syarikat berkembang dan menurunkan jangkaan pemotongan kadar Rizab Persekutuan (Fed) tahun ini, selain indeks saham utama yang mempamerkan rali kukuh pada suku pertama, didorong lonjakan saham berkaitan kewangan, penjagaan kesihatan dan teknologi.
“Walaupun prestasi suku pertama kukuh, pasaran kewangan berdepan beberapa risiko meluas, iaitu kadar faedah ‘tinggi untuk tempoh lebih lama’, risiko geopolitik dan konflik, serta perubahan dasar berikutan pilihan raya yang dilaksanakan oleh beberapa ekonomi besar tahun ini,” katanya.
Pada suku yang dikaji, pendapatan daripada ekuiti meningkat kepada RM13.15 bilion, berbanding RM8.69 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2023.
Kelas aset ini kekal sebagai penyumbang pendapatan tertinggi pada 68 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih.
Peningkatan pendapatan ini disumbangkan oleh strategi proaktif pengurus dana untuk mengambil peluang rali pasaran bagi merealisasikan keuntungan modal sebelum berlakunya persekitaran tidak menentu yang dijangkakan pada suku akan datang.
Instrumen pendapatan tetap terus menjadi tunjang KWSP, memberi aliran pendapatan stabil dan mengurangkan impak ketidaktentuan pasaran jangka pendek.
Kelas aset ini, yang sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), menyumbang 27 peratus atau RM5.14 bilion kepada pendapatan boleh agih bagi S1 2024.
Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM0.22 bilion pada S1 2024, sementara instrumen Pasaran Wang menjana RM0.69 bilion, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini.
Keseluruhan aset pelaburan KWSP setakat Mac 2024 meningkat kepada RM1.19 trilion, yang mana pelaburan luar negara menyumbang 38 peratus daripada keseluruhan jumlah aset.
Pelaburan luar negara KWSP, yang sebahagian besarnya adalah dalam ekuiti, terus melebihi jangkauan dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP dengan menjana pendapatan sebanyak RM9.88 bilion, mewakili 51 peratus daripada jumlah pendapatan
boleh agih yang direkodkan.
Pelaburan domestik KWSP pula menyumbang 62 peratus daripada jumlah aset yang sebahagian besarnya dilaburkan dalam instrumen Pendapatan Tetap, seterusnya memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui faedah dan keuntungan.
KWSP katanya, kekal komited dalam menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan terus memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.
Sebanyak RM16.56 bilion daripada RM19.20 bilion pendapatan boleh agih dijana untuk Simpanan Konvensional, dan RM2.64 bilion untuk Simpanan Syariah.
Ahmad Zulqarnain berkata, KWSP mengekalkan jangkaan optimistik terhadap ekonomi domestik yang memulakan tahun 2024 atas landasan kukuh dan merekodkan pertumbuhan pesat pada 4.2 peratus bagi S1 2024.
“Bank Negara Malaysia mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar antara 4 dan 5 peratus tahun ini, dan inflasi akan kekal sederhana berpurata antara 2 dan 3.5 peratus.
“Pertumbuhan global tahun ini dijangka lebih positif, namun risiko kekal tinggi berikutan ketidaktentuan daripada kesan pengetatan dasar monetari terhadap pertumbuhan dan kestabilan pasaran kewangan, krisis pasaran hartanah China, serta ketegangan geopolitik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE