RIYADH – Jurucakap Kementerian Kesihatan Arab Saudi memberi amaran berhubung peningkatan suhu yang diramal mencecah 48 darjah Celsius sepanjang ibadat haji yang akan bermula Jumaat ini, lapor agensi berita SPA semalam.
Menurut Muhammad Al-Abdulaali, suhu tinggi menimbulkan cabaran utama pada musim haji kali ini.
Beliau menggesa bakal jemaah mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh pihaknya bagi menjaga keselamatan diri semasa musim panas.
Membawa payung, mengekalkan penghidratan dan mengambil masa rehat ketika mengerjakan rukun haji adalah perlu untuk mengelakkan badan mengalami keletihan akibat cuaca panas.
“Kementerian sedang berusaha untuk menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat untuk jemaah haji berikutan keadaan iklim yang panas terik,” kata Al-Abdulaali.
Pusat Meteorologi Kebangsaan meramalkan bahawa suhu di Mekah akan menjadi sangat panas iaitu antara 45 darjah Celsius hingga 48 darjah Celsius dengan potensi hujan yang sedikit. – AGENSI