PETALING JAYA – Kompleks Mahkamah di sini menjadi tumpuan orang ramai sejak pukul 7.30 pagi berhubung kes reman ibu bapa kanak-kanak autism, Zayn Rayyan Abdul Matiiin.
Bagaimanapun pengamal media tidak dibenarkan masuk apabila kompleks itu dikawal ketat pihak berkuasa dan hanya pihak yang mempunyai urusan sahaja.
Sebelum ini pasangan itu ditahan dan direman tujuh hari hingga 7 Jun ini di Mahkamah Petaling Jaya bagi membantu siasatan pembunuhan kanak-kanak autistik itu.
Kedua-dua pasangan berusia 28 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sebelum itu mereka ditahan di sekitar Puncak Alam.
Pada 7 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai sekitar pukul 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. -KOSMO! ONLINE