PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melakukan siasatan segara jika berlaku kenaikan harga perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada kelmarin.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap beberapa kenyataan pihak industri berhubung kenaikan itu.
Katanya, bagi mengekang dari berlaku sebarang kenaikan, kementeriannya kini sedang melaksanakan Ops Kesan 2.0 bermula Sabtu lalu.
“Pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aduan melalui platform-platform yang disediakan akan dilaksanakan berpandukan kepada Peraturan-peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, berdasarkan kenyataan-kenyataan yang tular di media sosial pihaknya juga akan membuat siasatan segera meliputi dua aspek.
“Pertama, bagi sektor yang tidak termasuk dalam 33 jenis pengangkutan awam dan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) seperti perkhidmatan tunda kenderaan dan penghantaran barangan binaan, KPDN akan mengeluarkan notis kepada pihak-pihak terbabit.
“Serahan notis akan dilaksana di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk memastikan tidak berlakunya pelarasan harga yang mempunyai elemen pencatutan,” ujarnya.
Manakala, bagi sektor industri seperti pembinaan yang sememangnya tidak layak menggunakan diesel subsidi sebelum penyasaran subsidi dilaksanakan pada kelmarin, KPDN akan melaksanakan siasatan alasan mereka perlu menaikkan harga perkhidmatan sekarang.
“Ini termasuk siasatan kemungkinan mereka mendapatkan sumber diesel bersubsidi secara tidak sah sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE