HANOI – Polis Hanoi melancarkan siasatan tentang kes sekumpulan pelajar sekolah menengah membogelkan seorang rakan pelajar berumur 14 tahun, lapor portal berita VnExpress semalam.
Kumpulan pelajar itu turut memukul dan memaksa mangsa menghisap rokok.
Menurut polis, tujuh pelajar dikenal pasti terlibat dalam serangan tersebut.
Semua pelajar terbabit bersekolah di Sekolah Menengah Hoang Van Thu, daerah Chuong My.
Gadis itu mempunyai konflik dengan seorang pelajar lain di sekolah sama. Kedua-dua pihak memutuskan untuk bertemu pada petang 6 Jun lalu untuk menyelesaikan pertikaian mereka.
Apabila tiba di tempat pertemuan di luar sekolah, sekumpulan tujuh pelajar sudah menunggunya.
Mereka bergegas memukul dan menanggalkan pakaian mangsa sebelum dia dipaksa menghisap rokok.
Kumpulan pembuli itu turut merakam perbuatan mereka dan memuat naiknya di internet.
Gadis itu mengalami kecederaan fizikal dan mental dan terpaksa dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Bapanya melaporkan kejadian itu kepada polis. – AGENSI