LEICESTER – Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers percaya dua pemainnya, Timothy Castagne dan Daniel Amartey boleh diturunkan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur malam ini.
Sebelum ini, kedua-dua pemain berkenaan dikatakan mengalami kecederaan hamstring, namun mereka mungkin akan beraksi ketika berkunjung ke Stadium Tottenham Hotspur.
Bagaimanapun, beliau berkata, pasukan perubatan perlu memantau keadaan Castagne dan Amartey terlebih dahulu sebelum memberi lampu hijau kepadanya.
“Semua pemain cergas dan boleh diturunkan. Saya sangat berharap boleh gunakan khidmat Castagne dan Amartey pada perlawanan tersebut, ia satu berita baik untuk pasukan.
“Kami perlu pantau keadaan mereka terlebih dahulu. Sebenarnya, Castagne boleh beraksi pada perlawanan sebelum ini tetapi saya tidak mahu ambil risiko,” kata Rodgers.
Bekas pengendali Liverpool itu mengakui, beliau menggemari gaya permainan yang ditampilkan Castagne kerana pemain antarabangsa Belgium tersebut banyak membantu pasukan ketika menyerang.
“Jika anda lihat aksinya, dia mampu membuka ruang buat pemain-pemain serangan masuk ke dalam kawasan lawan. Dia juga mampu bertahan dengan baik,” ujar beliau. – AGENSI