BANGKOK – Satu acara tayangan filem seram diadakan di sebuah kawasan perkuburan Cina di wilayah Nakhon Ratchasima dengan beratus-ratus kerusi kosong disusun, dipercayai untuk kegunaan roh si mati, lapor laman berita Thaiger.
Acara itu diadakan oleh Yayasan Sawang Metta Thammasathan untuk mengetengahkan amalan kebudayaan dan kepercayaan penduduk Thailand.
Dalam acara yang berlangsung dari 2 hingga 6 Ju lalu, setiap filem ditayangkan dari pukul 7 malam (waktu tempatan) hingga tengah malam.
Pada pukul 6 petang (waktu tempatan), kakitangan penganjur menyiapkan peralatan dengan dihadiri oleh 10 penunjung.
Namun, ketika hari semakin gelap, keadaan di kawasan perkuburan yang menempatkan 2,800 kubur itu bertukar seram.
Jumlah penonton berkurangan sehingga hanya tinggal beberapa kakitangan yayasan sahaja.
Deretan kerusi kosong menambahkan lagi suasana seram berhampiran tapak pembakaran mayat ketika api marak masih menyala.
Menurut pemilik wayang pacak itu, Yanawut Chakrawattisawang, dia pada awalnya berasa takut untuk menerima projek tersebut.
Ini kerana dia kebiasaannya menerima permintaan tayangan filem di kampung-kampung.
Namun, Yanawut menyifatkan pengalaman tersebut sebagai unik dan positif kerana ia adalah pertama kali dia perlu menyediakan hiburan kepada entiti bukan manusia.
“Saya tidak berada di situ sepanjang filem ditayangkan kerana saya berasa takut. Saya pulang ke rumah dan hanya kembali ke situ pada tengah malam selepas tayangan filem tamat,” ujarnya.– AGENSI