KOTA BHARU – Polis Kelantan masih giat memburu presiden persatuan muay thai, Mohd. Fared Abdul Ghani, 56, bagi membantu siasatan kes salah guna darjah kebesaran Datuk Seri palsu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan terhadap lelaki itu akan dilakukan pada bila-bila masa.
Katanya, Mohd. Fared masih belum menyerah diri berhubung atas kesalahan berkenaan selepas hampir seminggu diburu polis.
“Kita tetap akan memburu lelaki itu dan membuat tangkapan ke atasnya. Setakat ini, dia masih belum menyerah diri atau mungkin ada hal lain. Saya masih beranggapan positif terhadapnya.
“Dalam keadaan seperti ini, perkara itu (kes salah guna darjah kebesaran) tidak perlu dipanjang-panjangkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, Mohd. Fared sepatutnya tampil dan menyerah diri untuk membantu siasatan kes tersebut.
Katanya, polis hanya menjalankan tanggungjawab untuk menyiasat selepas menerima laporan.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, Mohd. Fared yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan memukul seorang lelaki pada Mac lalu sekali lagi diburu polis bagi membantu siasatan kes salah guna darjah kebesaran Datuk Seri palsu. – KOSMO! ONLINE