PUTRAJAYA – Malaysia menggesa Resolusi 2735 (2024) yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaksanakan secara menyeluruh bagi meringankan penderitaan dan menghentikan pembunuhan rakyat Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu selaras dengan mandat Majlis Keselamatan PBB.
Katanya, resolusi ini menggariskan cadangan tiga fasa oleh Amerika Syarikat yang menyeru untuk gencatan senjata segera, kekal dan berkesan.
Jelasnya, ini termasuk pembebasan tebusan, pertukaran tahanan warga Palestin dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza dilaksanakan.
“Resolusi tersebut juga menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan, serta pembinaan semula Gaza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Malaysia turut mengulangi sokongan terhadap isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
Ia berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan supaya Palestin diterima sebagai Anggota Penuh PBB. – KOSMO! ONLINE