WEST BROMWICH – Selepas dilantik sebagai pengurus baharu West Bromwich Albion, Sam Allardyce (Big Sam) menegaskan beliau sudah tidak sabar untuk membuktikan kemampuannya.
Tidak dinafikan, Allardyce dianggap antara jurulatih yang mampu menyelamatkan mana-mana pasukan daripada tersingkir ke liga bawahan dan tugasnya kali ini adalah untuk menyelamatkan West Brom.
Bagaimanapun, beliau berdepan tugas berat menjelang aksi pertama apabila dijadualkan bertemu Aston Villa pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park awal pagi esok.
“Saya sangat dahagakan kemenangan, mungkin lebih dahaga berbanding sebelum ini. Saya akui benar-benar bersemangat untuk mengharungi aksi pertama.
“Saya juga akui sangat rindukan aksi kompetitif seperti ini. Tidak dinafikan saya sudah buat keputusan terbaik untuk kembali ke saingan Liga Perdana,” ujar Allardyce.
Bekas pengurus England itu juga mengakui, skuad kendaliannya berdepan tugas sukar memandangkan Villa dianggap antara pasukan terbaik liga setakat ini.
“Semua orang tahu tekanan yang dihadapi oleh setiap pengurus baharu. Saya percaya pemain-pemain akan lakukan yang terbaik bagi memenangi perlawanan itu,” katanya. – AGENSI