SEBERANG PERAI – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berusaha memberi penjelasan berhubung pemberian subsidi diesel kepada golongan petani di negara ini bagi mengelak kekeliruan yang timbul.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pemberian subsidi akan diberikan kepada semua petani termasuk pesawah yang menggunakan diesel.
Menurutnya, penjelasan berhubung perkara tersebut sedang dilaksanakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah.
“Subsidi diesel sedang berjalan. Semua penanam padi yang menggunakan diesel diberi subsidi termasuk semua sekali. Cuma pendaftaran sedang berjalan.
“Saya yakin benda ini akan berlaku bukan kata keliru, salah faham akta ini dalam masa sebulan sahaja.
“Jadi, pihak kementerian akan bagi penjelasan dan turun bagi memberi penerangan,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Program Libat Urus bersama Pemimpin Peladang Negeri Pulau Pinang di Nibong Tebal di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, ketika ini berlaku sedikit kekeliruan mengenai perkara tersebut dalam kalangan petani seluruh negara.
“Namun, saya yakin ini hanya berlaku sementara sahaja dan perkara ini benda baru yang diperkenalkan di Malaysia yang dipanggil subsidi bersasar, bukan dibuang subsidi bersasar,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 seliter akan memberi kesan kepada golongan petani di negara ini, khususnya kepada penanam padi.
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Asyaraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kenaikan yang amat tinggi itu sememangnya dikhuatiri akan membebankan para petani.
Ahad lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di Semenanjung ditetapkan RM3.35 seliter manakala bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, bagaimanapun kekal RM2.15 seliter, bermula tengah malam Isnin. – KOSMO! ONLINE