MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengesahkan bahawa penyerangnya, Edinson Cavani sudah turun menjalani latihan dan cergas untuk aksi menentang Leeds United awal pagi esok.
Penyerang Uruguay itu terlepas tiga aksi bersama United sebelum ini selepas aksi menentang West Ham United pada 5 Disember lalu ekoran berdepan masalah kecederaan pangkal paha.
“Saya fikir dia akan kembali bersama pasukan dan mampu diturunkan pada aksi menentang Leeds. Dia sudah menjalani latihan bersama pasukan dan tidak ada masalah yang timbul.
“Saya tidak fikir kami kehilangan mana-mana pemain selepas aksi menentang Sheffield United sebelum ini. Selepas kami memenangi perlawanan itu, para pemain biasanya tidak mengalami kecederaan yang teruk,” katanya.
Leeds menjadi lawan kedua United daripada enam perlawanan yang terpaksa diharungi mereka dalam tempoh 15 hari ini ekoran perayaan Krismas, sekali gus memaksa Solskjaer mempraktikkan sistem penggiliran pemain.
Victor Lindelof dan Harry Maguire merupakan gandingan kegemaran Solskjaer musim ini, namun pengurus dari Norway itu mungkin memberikan tanggungjawab tersebut kepada pasangan Eric Bailly dan Axel Tuanzebe pada aksi kali ini.
“Victor dan Harry cukup konsisten, musim lalu juga mereka berjaya mempamerkan aksi konsisten. Saya fikir mereka memerlukan rehat ketika jadual perlawanan yang semakin padat.
“Eric dan Axel mengalami sedikit kecederaan tetapi saya yakin mereka mampu diturunkan dan memikul tanggungjawab untuk mempertahankan gawang kami pada aksi itu nanti,” katanya. – AGENSI