NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin meluluskan resolusi gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat(AS), lapor berita Perbadanan Penyiaran Britain(BBC).
Resolusi tersebut meminta ‘gencatan senjata lengkap dan sepenuhnya’, pembebasan tebusan oleh Hamas, pemulangan jenazah tebusan yang mati serta pertukaran tahanan Palestin.
Sebanyak 14 daripada 15 anggota Majlis Keselamatan mengundi menyokong resolusi dirangka AS itu kecuali Russia yang memilih untuk berkecuali.
Resolusi sama menyatakan, Rejim Zionis turut bersetuju dengan cadangan gencatan senjata Washington. Ia turut menggesa persetujuan Hamas.
Dalam keputusannya, Majlis Keselamatan hampir sebulat suara menyokong pelan gencatan senjata tiga fasa itu seperti diumumkan oleh Presiden Joe Biden pada 31 Mei lalu.
Keputusan tersebut meningkatkan tekanan terhadap Israel dan Hamas supaya segera menamatkan perang di Gaza.
Sesi pengundian itu berlangsung selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam usaha membina sokongan bagi merelisasikan perjanjian gencatan senjata tersebut.
Fasa pertama resolusi itu melibatkan pertukaran tebusan Israel dan tahanan Palestin serta gencatan senjata jangka masa pendek.
Syarat kedua menyebut tentang pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza dan menamatkan permusuhan secara kekal. Fasa terakhir adalah merangka pelan jangka panjang termasuk membina semula Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, lebih 37,000 penduduk Palestin terbunuh dengan kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak, sejak Israel melancarkan perang ke atas wilayah Semenanjung Gaza, Oktober tahun lalu.
Beberapa jam sebelum Majlis Keselamatan mengadakan sesi undiannya, Blinken menyatakan bahawa mesej beliau kepada barisan pemimpin Asia Barat adalah jelas.
“Jika anda mahukan gencatan senjata, desak Hamas untuk berkata, ya,” katanya
Resolusi sama juga diluluskan 10 hari selepas Biden mengumumkan persetujuan Israel berhubung rancangan beliau.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu masih belum menyatakan sokongan secara terbuka kepada pelan Washington itu.
Di sebalik inisiatif damai itu, Washington sedar Tel Aviv menerima rancangan gencatan itu dengan berat hati.
Ini kerana beberapa menteri berhaluan kanan mengugut untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Netanyahu jika gencatan senjata itu dilaksanakan.
Peletakan jawatan menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz pada Ahad lalu memburukkan lagi krisis kepimpinan Rejim Zionis.
Biden dalam satu kenyataan mengenai resolusi Majlis Keselamatan di platform X menyatakan: “Hamas berkata bahawa mereka mahu gencatan senjata.”
“Tawaran ini adalah peluang untuk Hamas membuktikanmereka serius(tentang gencatan senjata),” kata Biden.
Dalam pada itu, Hamas mengalu-alukan resolusi Majlis Keselamatan yang menyokong gencatan senjata di Semenanjung Gaza, demikian menurut agensi berita Anadolu.
Dalam satu kenyataan sejurus selepas resolusi itu diluluskan, Hamas berkata, mereka mengalu-alukan segala syarat dalam resolusi tersebut termasuk gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza serta pengunduran sepenuhnya tentera Israel. – AGENSI