LONDON – Pelumba berbasikal trek dari Colombia, Fabian Puerta Zapata telah digantung selama empat tahun oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) kerana positif bahan terlarang pada ujian yang dilakukan pada tahun 2018.
Sebagai rekod, Puerta Zapata yang berusia 29 tahun dianggap sebagai salah satu calon pilihan untuk meraih pingat pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo tahun depan memandangkan statusnya sebagai juara dunia acara keirin edisi 2019.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UCI, Puerta Zapata telah didapati bersalah kerana menggunakan bahan terlarang yang dikenali sebagai boldenone metabolite.
“Selepas melakukan siasatan, kami mendapati Puerta Zapata bersalah kerana didapati menggunakan bahan terlarang sekali gus dihukum gantung daripada sebarang kejohanan kompetitif selama empat tahun,” kata kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Puerta Zapata telah mengeluarkan kenyataan kemungkinan bahan terlarang tersebut ada dalam makanan yang telah dibekalkan kepadanya sebelum ujian doping itu dilakukan.
Bagaimanapun, Puerta Zapata tetap boleh melakukan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan dalam usaha mengurangkan tempoh denda yang telah dikenakan UCI kepadanya.
Atlet kelahiran Caldas, Colombia itu sebelum ini muncul pemenang pingat emas acara keirin Kejohanan Pan American 2011 dan 2015 dan juara Kejohanan Dunia 2018 di Belanda. – AGENSI