PETALING JAYA – Balu Allahyarham Suhaimi Saad iaitu Ina Naim kesal apabila masih ada individu yang memerli dirinya untuk membeli mesin basuh untuk membasuh pakaian.
Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd. Naim, 40, meminta agar perkara tersebut tidak lagi diungkit kerana dia kini telah menjalankan perniagaan dobi secara kecil-kecilan.
Katanya, perkara itu merupakan impian Allahyarham Suhaimi, 43, untuk menyediakan perkhidmatan dobi di kampungnya, Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.
“Selain berniaga kopi, sabun dan koko, alhamdulillah Allah izinkan saya tidak perlu pergi ke dobi. Saya sendiri sudah membuka dobi. Jadi jangan tanya mesin basuh mana.
“Ini mesin basuh banyak. Selepas ini jangan tanya lagi. Jangan cakap suami saya tidak beli mesin basuh, tidak beli itu, tidak beli ini. Saya sekarang sudah buka dobi di kampung.
“Sejak 2009 lagi awah memang sudah bercita-cita untuk membuka kedai dobi di kampung ini,” katanya dalam satu siaran langsung (live) dalam TikTok.
Tambahnya Ina, duit royalti Allahyarham Suhaimi yang diterima telah digunakan sebagai modal untuk membuka perniagaan tersebut.
“Duit royalti arwah saya tidak guna sewenang-wenang untuk berseronok. Tetapi saya membuka dobi kerana duit itu akan sentiasa berkembang.
“Saya membuka dobi ini selepas arwah meninggal, alhamdulillah rezeki tidak putus terutamanya ketika musim hujan.
“Ada sahaja orang hantar baju termasuk pihak masjid yang menghantar sejadah dan telekung. Ada juga sekolah yang menghantar alas meja guru dan langsir untuk dibasuh,” katanya.
Allahyarham Suhaimi meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru akibat jangkitan kuman di paru-paru pada November tahun lalu.
Jenazah yang juga bekas anggota kumpulan nasyid In-Team itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Sungai Ara.
Untuk rekod, Suhaimi berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony. – KOSMO! ONLINE