fbpx

Luka lecur Faisal Halim belum kering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAISAL HALIM

PEMAIN kebangsaan, Faisal Halim belum dibenarkan untuk melakukan aktiviti lasak bagi memastikan luka lecur yang dialaminya dapat kembali pulih dengan lebih cepat.

Pengurusan Selangor FC juga meminta Faisal untuk tidak terlalu cepat kembali ke padang kerana ketika ini dia juga terpaksa mengikuti jadual pemeriksaan kesihatan di hospital.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, berkata keutamaan dalam tempoh dua atau tiga minggu ini adalah lebih menjurus kepada kesembuhan kesan luka yang dialami Faisal.

“Kita mahu luka yang dialaminya kering sepenuhnya, selagi tidak kering maka tidak ada aktiviti lasak dan hanya boleh melakukan rehabilitasi ringan yang tidak akan menyebabkannya berpeluh.

“Apabila dia pulih (luka kembali kering) kita akan ke fasa seterusnya iaitu kecergasan. Bagaimanapun, buat masa ini belum ada garis masa (bila Faisal akan kembali bermain), namun proses pemulihannya agak memberangsangkan.

“Badan dia belum bersedia dan saya minta dia supaya ambil sedikit masa supaya lukanya dapat sembuh sepenuhnya. Saya difahamkan empat ke lima hari sekali dia kena pergi ke hospital,” katanya pada Majlis Tandatangan Kerjasama antara Selangor FC dan Johawaki hari ini.

Bagaimanapun Selangor FC dan Johawaki Holdings Sdn. Bhd enggan mendedahkan nilai sebenar tajaan, namun mengesahkan kerjasama itu membabitkan tempoh semusim.

“Melihat kepada perkembangan prestasi pasukan yang semakin meningkat dan hala tuju konsisten sejak di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, kami berbesar hati untuk menjalin kerjasama dan menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, Mohamad Akmal Johari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI